
WATAK kartun ikonik Malaysia Upin dan Ipin sememangnya membuktikan mereka antara watak kartun paling digemari kanak-kanak di negara ini dan mungkin juga di beberapa negara jiran termasuk Indonesia.
Ia terbukti apabila laman Facebook Upin dan Ipin mendapat likes mencecah 7 juta hari ini. Tidak hairanlah ia digelar Laman Facebook paling popular di Malaysia.
Melalui akaun LINE Upin dan Ipin, merek mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong siri animasi itu sehingga berjaya ke tahap ini.
“Yay, Facebook Upin & Ipin dah mencecah 7 Juta LIKE. Terima kasih kepada kawan-kawan yang telah menyokong Upin & Ipin. Jom buat ucapan kepada Upin & Ipin dengan menggunakan hashtag #upinipinfb7juta di facebook, twitter dan instagram~,” menurut akaun LINE mereka hari ini.
Upin Ipin mula diterbitkan dan disiarkan pada bulan Ramadhan tahun 2007 untuk bertujuan mendidik anak-anak kecil menghormati bulan mulia itu.
Selepas berjaya menambat hati kanak-kanak, bahkan orang dewasa di peringkat serantau di Asean Upin dan Ipin disenaraikan dalam Malaysia Book Of Records sebagai Animasi Paling Berjaya pada tahun 2011.
Selepas membintangi filem Geng:Pengembaraan Bermula tidak lama dulu, kali ini watak adik-beradik kembar itu bakal membintangi filem Laksamana Upin dan Ipin yang dijangka ditayangkan tidak lama lagi.
Watak terkenal itu pada mulanya direka oleh Mohd Nizam Abdul Razak, Mohd Safwan Abdul Karim, Muhammad Anas Abdul Aziz dan Usamah Zaid yang turut merupakan pengasas Les’ Copaque.
Mereka semua merupakan graduan Universiti Multimedia yang sebelum itu bekerja sebagai kakitangan sebuah syarikat animasi lain sebelum bertemu dengan bekas peniaga minyak dan gas, Burhanuddin Radzi pada tahun 2005 dan membuka syarikat itu.
Proses animasi Upin & Ipin (dan juga filem Geng) menggunakan perisian CGI Autodesk Maya.
Pada satu sidang media perisian animasi pada tahun 2009, Ketua Pereka Les’ Copaque, Fuad Md. Din memberitahu, “Salah satu tujuan kami memilih perisian ini kerana ia mudah. Lagi pun kami sudah berpengalaman menggunakannya sebelum ini,” katanya.
Oleh : IBNU KHUSAIRY ARIS
Posting Komentar